header_perhentian  



# Other Best Places #

# Useful Link #

sejarah perhentian
 
Pembukaan dan penempatan awal di Pulau Perhentian
Pulau Perhentian mula didiami pada penghujung abad ke 18. Tempat yang mula-mula dibuka dan didiami ialah Teluk Dalam, di sekitar sebatang alur air payau yang cetek yang dikenali sebagai Alur Cina. Orang yang paling awal mendudukinya ialah Batin Mina dan keluarganya. Beliaulah orang yang bertanggungjawab menjadikan Pulau Perhentian sebagai satu petempatan.
 
Asal Penduduk Pulau Perhentian
Orang yang pertama menduduki Pulau Perhentian dipercayai berasal dari Kepulauan Riau, iaitu jajahan takluk Johor-Riau pada masa itu. Batin Mina dan keluarganya datang ke Pulau Perhentian dengan menumpang kapal-kapal dagang China yang berulang alik dari China ke Asia Tenggara. Beliau telah melarikan diri dari buruan Belanda kerana telah bertindak menentang penjajahan dengan cara merompak dan mengugut kapal-kapal dagang barat. Keturunan beliaulah yang terus mendiami Pulau Perhentian serta beberapa keluarga yang berasal dari Tanah Besar Semenanjung.
 
Bagaimana Pulau Perhentian Mendapat Nama
Pulau ini pada awalnya tidak mempunyai nama yang khusus. Ianya dijadikan tempat persinggahan bagi kapal-kapal dagang yang berulang alik dari China ke Asia Tenggara seperti Singapura, Jawa dan beberapa tempat di Semenanjung Tanah Melayu. Di pulau ini juga dijadikan tempat persinggahan kapal-kapal garam dari Singgora (Selatan Thai), untuk menghantar garam ke Kuala Terengganu. Oleh kerana pulau ini sering dijadikan tempat persinggahan bagi kapal-kapal yang dalam pelayaran, ianya telah dinamakan sebagai Pulau Perhentian. Iaitu pulau tempat kapal-kapal singgah atau berhenti seketika sebelum meneruskan pelayaran. Sehingga sekarang pulau ini masih lagi dijadikan tempat berlindung bagi kapal-kapal dari angin kencang dan ombak besar.
 
Pentadbiran Pulau Dan Hubungan Dengan Pemerintah Negeri
Pulau Perhentian pada masa dahulu ditadbir oleh seorang ketua yang dikenali dengan panggilan Batin. Beliaulah orang yang bertanggungjawab terhadap kebajikan dan keselamatan orang-orang di bawah kawalannya. Batin pada masa itu adalah merupakan seorang pendekar yang terbilang dan juga seorang bomoh yang handal serta mempunyai ilmu kebatinan yang tinggi.

Batin Mina merupakan orang yang pertama menduduki dan mentadbir Pulau Perhentian. Pada zamannya teraju pentadbirannya terletak di Teluk Dalam iaitu Pulau Perhentian Besar. Pentadbirannya dibantu oleh seorang panglima yang dikenali sebagai Panglima Dayak. Batin dengan dibantu oleh panglimanya yang bertanggungjawab bagi memastikan keamanan dan kestabilan persekitaran pulau.

Selepas kematian Batin Mina, teraju pemerintahan pulau diambil alih pula oleh adiknya iaitu Batin Jamal. Tidak lama selepas kematian Batin Mina, mereka yang tinggal di perkampungan Teluk Dalam Pulau Perhentian Besar sudah tidak tenteram lagi. Keadaan ini terjadi kerana adanya gangguan dari makhluk-makhluk halus, yang dikatakan sebelumnya dapat dikawal oleh Batin Mina. Keadaan menjadi bertambah buruk lagi apabila tanaman tidak menjadi kerana dirosakkan oleh lutong (sejenis monyet) dan tikus. Oleh kerana keadaan sudah tidak terkawal lagi, Batin Jamal pentadbir pulau pada masa itu mengambil keputusan untuk berpindah.

Batin Jamal dan semua penduduk Pulau Perhentian pada masa itu telah berpindah ke Negeri Sanyanya dan membuka penempatan di situ. Negeri Sanyanya ialah Kuala Besut sekarang ini. Di Negeri Sanyanya (Kuala Besut), Batin Jamal membuka perkampungan baru. Setelah tinggal beberapa lama di Negeri Sanyanya (Kuala Besut), Batin Jamal dan orang-orangnya teringin untuk kembali ke Pulau Perhentian. Setelah mengadakan perbincangan dengan semua orang-orangnya, Batin Jamal mengambil keputusan untuk kembali ke Pulau Perhentian. Sekembalinya dari Negeri Sanyanya (Kuala Besut), mereka tidak lagi tinggal di Teluk Dalam tetapi menduduki Pasir Hantu (penempatan sekarang) di Pulau Perhentian Kecil.

Selepas kematian Batin Jamal, pentadbiran Pulau Perhentian diambil alih pula oleh Batin Deris. Pentadbiran Batin Deris dibantu oleh seorang panglima yang dikenali sebagai Panglima Ebet. Batin Deris dan panglimanya bertanggungjawab terhadap soal-soal kebajikan dan keselamatan orang-orangnya. Selepas kematian Batin Deris, warisan kebatinan diambil alih pula oleh Batin Saman, selepas kematian Batin Saman ianya diambil alih pula oleh Batin Yahya. Kemudian, selepas Batin Yahya meninggal dunia ianya diteruskan pula oleh Batin Talib dengan dibantu oleh panglimanya yang bergelar Panglima Kecik atau dikenali juga dengan panggilan Tok Deramat. Pada zaman Batin Taliblah, penduduk Pulau Perhentian dapat disatukan di satu tempat iaitu penempatan sekarang ini. Batin Talib telah berjaya mengumpulkan semua penduduk Pulau Perhentian di satu kawasan penempatan di sekitar awal abad ke 20. Selepas Batin Talib meninggal dunia, pentadbiran Pulau Perhentian diteruskan lagi oleh Batin Sidek. Batin Sidek merupakan batin yang terakhir sekali dalam warisan kebatinan yang mentadbir Pulau Perhentian. Beliau meninggal dunia pada awal tahun 1990. Selepas kematiannya tidak ada lagi warisan kebatinan yang menjadi ketua penduduk Pulau Perhentian. Ianya telah diganti dengan seorang Ketua Kampung.

Batin Pulau Perhentian mempunyai hubungan istimewa dengan pemerintah negeri iaitu Baginda Al-Sultan Terengganu. Kisah perhubungan ini dikatakan bermula pada zaman Batin Mina lagi sehinggalah kepada batin-batin selepasnya. Hubungan dikatakan bermula apabila Batin Mina berkeupayaan mengubat penyakit yang dihidapi oleh baginda Sultan Terengganu

Mengikut cerita, pada zaman pemerintahan ayahanda kepada Sultan Sulaiman telah terjalin hubungan antara Batin Mina dengan baginda Al-Sultan Terengganu yang memerintah. Sejarah hubungan istimewa dikatakan bermula apabila Almarhum Sultan yang memerintah ketika itu ingin menduga kepandaian dan kehandalan bomoh dalam negeri dan jajahan takluk baginda. Cara baginda menguji kepandaian bomoh ialah baginda pura-pura sakit.

Apabila baginda sakit seluruh negeri dikhabarkan berita itu. Semua bomoh-bomoh dan dukun-dukun yang handal dipanggil untuk mengubati baginda. Walaupun semua bomoh-bomoh dan dukun-dukun yang handal datang mengubati baginda namun penyakit baginda tidak juga sembuh. Semua bomoh dan dukun yang datang tidak tahu penyakit yang dihidapi oleh baginda.

Berita tentang Al-Sultan Terengganu yang sedang gering itu sampai ke pengetahuan Tengku Chik, Raja yang memerintah Besut pada masa itu. Tengku Chik menyembahkan kepada Al-Sultan Terengganu tentang adanya seorang bomoh yang handal di Pulau Perhentian. Apabila berita itu sampai ke pengetahuan baginda, lalu baginda menitahkan supaya bomoh dipanggil untuk datang ke Kuala Terengganu dan mengubati baginda. Setelah dititahkan oleh Sultan Terengganu supaya datang mengadap, Batin Mina iaitu bomoh yang dimaksudkan oleh Tengku Chik mula bersiap-siap untuk memulakan pelayaran ke Kuala Terengganu.

Batin Mina memulakan pelayaran ke Kuala Terengganu dengan menggunakan sebuah perahu kecil yang diperbuat daripada batang kayu dan layarnya diperbuat daripada sebidang tikar. Pada masa itu ialah musim tengkujuh. Batin Mina belayar seorang diri mengharungi gelora musim tengkujuh untuk ke Kuala Terengganu semata-mata untuk mengubati Baginda Al-Sultan. Setelah sampai di Kuala Sungai Terengganu dan mendarat di jeti tidak jauh dari Istana Maziah, beliau disambut oleh seorang wakil Al-Sultan yang dikenali dengan nama Pak Bian. Kedatangan Batin Mina memang ditunggu-tunggu oleh pihak istana.

Mengikut cerita perahu kecil yang berlayarkan tikar yang dinaiki oleh Batin Mina mempunyai keanehan dan luar biasa pada pandangan orang ramai. Perahu kecil yang diperbuat daripada sebatang kayu dan menggunakan layar sebidang tikar itu dilihat oleh orang ramai yang menunggu ketibaannya bagaikan sebuah kapal yang besar dan dinaiki oleh berpuluh-puluh orang. Tetapi setelah ianya semakin hampir dengan pantai ianya dilihat semakin kecil dan akhirnya ianya adalah sebuah perahu layar yang kecil sahaja.

Batin Mina masuk ke dalam istana dan diberi santapan Diraja. Setelah berehat seketika, Batin Mina dititahkan mengadap Duli Yang Maha Mulia Sultan untuk melihat penyakit yang dihidapi oleh Baginda. Setelah masuk mengadap, Batin Mina mempersembahkan kepada Duli Yang Mulia Sultan bahawa Baginda sebenarnya tidak sakit. Ia sudah mengetahui bahawa Baginda Al-Sultan sekadar ingin menguji kepandaian dan kehandalan bomoh yang ada di serata negeri. Setelah Al-Sultan mengetahui bahawa Batin Mina sudah mengetahui bahawa Baginda tidak sakit, Baginda pun terus bangkit dari tempat peraduan dan segera menghampiri Batin Mina. Baginda Al-Sultan mengakui kehandalan Batin Mina sebagai seorang bomoh.

Sejak peristiwa itulah, batin-batin yang tinggal di Pulau Perhentian mendapat layanan istimewa daripada Baginda Al-Sultan Terengganu. Mengikut cerita Baginda Al-Sultan berjanji akan memberi layanan istimewa kepada Batin Mina dan anak cucunya yang tinggal di Pulau Perhentian. Mulai dari peristiwa itu jugalah Duli Yang Maha Mulia Sultan-Sultan yang seterusnya dikatakan tetap menghormati Batin-Batin Pulau Perhentian dan sering juga mengunjungi Pulau Perhentian.

Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Sulaiman, Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Zainal Abidin 11, Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan Duli Yang Maha Mulia Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah juga sering mengunjungi Pulau Perhentian. Mengikut cerita setiap kunjungan Duli-Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan akan disambut dengan upacara penuh istiadat mengikut tradisi. Segala tradisi ini berterusan sehinggalah kepada Batin yang terakhir iaitu Batin Sidek. Kawasan perairan Pulau Perhentian dan sekitarnya diletakkan di bawah kawalan Batin-Batin sehinggalah sampai ke zaman pemerintahan Inggeris. Ianya bermula dari zaman Batin Mina lagi. Selepas kematian Batin Sidek, tidak ada lagi warisan kebatinan yang mengepalai penduduk Pulau Perhentian. Ianya telah diganti dengan seorang Ketua Kampung yang dilantik oleh masyarakat. Bermula pada tahun 1990, seorang Ketua Kampung mengetuai penduduk Pulau Perhentian.
 
Kegiatan Sosioekonomi Penduduk Pulau Perhentian Di Awal Penempatan
Diawal penempatan penduduk Pulau Perhentian bekerja sebagai petani dan nelayan saradiri. Penduduknya bercucuk tanam seperti padi dan ubi kayu untuk keperluan keluarga. Padi ditanam di satu kawasan rendah di kaki bukit kawasan penempatan di Teluk Dalam, Pulau Perhentian Besar. Selain daripada padi, ubi kayu juga ditanam untuk keperluan sementara menunggu padi mengeluarkan hasilnya.

Sebagai sumber protein, penduduk Pulau Perhentian pada masa itu menangkap ikan dengan menggunakan pancing di sekitar perairan Pulau Perhentian. Mereka pergi memancing dengan menaiki perahu-perahu kecil yang diperbuat daripada batang-batang kayu yang ditebuk. Segala hasil tangkapan hanya cukup untuk keperluan keluarga mereka.

Bekalan makanan seperti beras sebenarnya tidak mencukupi untuk menampung jumlah penduduk yang semakin bertambah pada masa itu. Batin Mina ketua bagi penduduk Pulau Perhentian pada masa itu telah mengena syarat kepada kapal-kapal dagang Cina yang berlabuh di perairan Pulau Perhentian. Setiap kapal yang berlabuh dan berlindung di Pulau Perhentian dikenakan cukai dalam bentuk makanan dan pakaian. Pada masa itu kapal-kapal dagang Cina yang berlabuh itu dikenali sebagai 'wakam' oleh penduduk kampung. Ianya adalah sejenis kapal layar yang besar yang lebih dikenali sebagai tongkang. Jika mereka enggan membayar cukai, tindakan akan diambil. Barang-barang mereka akan dirampas dan tidak dibenarkan berlabuh di sekitar perairan pulau. Jika sekiranya penguasa pulau pada masa itu iaitu Batin Mina dan pembantu-pembantunya gagal mendekati kapal-kapal itu, tindakan lain akan diambil. Mengikut cerita, pernah terjadi kapal-kapal dagang Cina itu dihalang pelayaran mereka dengan membina beting pasir di tengah laut bagi tujuan menyekat pelayaran kapal tersebut. Pembinaan beting pasir itu dikatakan dibina dengan menggunakan ilmu kebatinan oleh Batin Mina. Setelah pelayaran kapal itu tersekat, pedagang-pedagang itu terpaksa tunduk dan membayar cukai kepada Batin Mina.
 
Bagaimana Penempatan Sekarang Di Buka
Penempatan sekarang asalnya satu kawasan yang dipenuhi dengan lalang dan semak samun. Di persisiran pantainya adalah hamparan pasir yang memutih. Setelah Pulau Perhentian ditinggalkan sekian lama oleh Batin Jamal dan orang-orangnya dan kemudian kembali semula ke Pulau Perhentian, mereka tidak kembali menetap di Teluk Dalam. Apabila kembali semula ke Pulau Perhentian dari Kuala Besut (Negeri Sanyanya), mereka telah membuka satu kawasan penempatan yang baru. Tempatnya ialah Pasir Hantu iaitu penempatan sekarang.
Pada masa dahulu, sebelum ianya dibuka oleh Batin Jamal, tempat ini adalah kawasan yang ditakuti oleh penduduk Pulau Perhentian kerana ianya dikatakan berhantu. Oleh kerana itulah tempat ini dinamakan Pasir Hantu. Mengikut cerita, sebelum ianya dibuka, orang kampung takut mendekati kawasan ini sewaktu mereka memancing di laut. Ini adalah kerana ada semacam orang yang melambai-lambai di tepi pantai, pada hal pada masa itu masih belum ada penghuni lagi di Pulau Perhentian Kecil. Oleh kerana itulah tempat ini dinamakan Pasir Hantu. Setelah ianya dibuka oleh Batin Jamal, masalah itu dikatakan dapat diatasi dan ketakutan penduduk pun hilang.

SEBENARNYA, apabila Batin Jamal dan orang-orangnya kembali dari Kuala Besut (Negeri Sanyanya), tidak semua mereka yang kembali itu tinggal di Pasir Hantu, Pulau Perhentian Kecil. Ada di antara mereka yang tinggal di Pulau Perhentian Besar tetapi tidak di Teluk Dalam. Ada di antara mereka itu menduduki dan menetap di Seberang Air Keruh, Seberang Mat Daham, Batu Jong dan Teluk Pauh. Semuanya di Pulau Perhentian Besar dan merupakan tempat peranginan dan perkelahan yang menarik pada masa ini.

Selain daripada itu, ada juga yang mendiami Pasir Petani di Pulau Perhentian Kecil. Dari kajian dan cerita yang diperkatakan oleh pencerita, penempatan pada masa dulu adalah berselerah di beberapa tempat di sekitar Pulau Perhentian Kecil dan Pulau Perhentian Besar. Tetapi penduduk Pulau Perhentian takut untuk kembali ke Teluk Dalam kerana tempat itu dikatakan berhantu dan tidak sesuai untuk didiami.

Penduduk Pulau Perhentian menetap di satu tempat di sekitar awal abad ke 20 iaitu pada zaman pemerintahan Inggeris. Orang yang bertanggungjawab menyatukan dan mengumpulkan semua penduduk Pulau Perhentian di satu kawasan penempatan ialah Batin Talib. Semua penduduk Pulau Perhentian, tidak kira sama ada di Pulau Perhentian Besar atau Pulau Perhentian Kecil menetap di satu penempatan sahaja iaitu di Pasir Hantu iaitu penempatan sekarang. Semenjak semua penduduk Pulau Perhentian menetap di satu penempatan tidak ada lagi penduduk di sini yang tinggal berselerak di merata-rata Pulau Perhentian. Penempatan sekarang di bawah pentadbiran enam orang batin, yang bermula dari Batin Jamal hinggalah batin yang terakhir sekali iaitu Batin Sidek. Sehinggalah sekarang ini, penduduk Pulau Perhentian tinggal di satu tempat dan segala kemudahan asas senang disalurkan kepada semua penduduk.
 
Pulau Perhentian Semasa Jepun
Semasa Jepun melanggar Tanah Melayu dalam perang dunia kedua iaitu di sekitar 1941 hingga tahun 1945, Pulau Perhentian tidak ketinggalan dari terasa bahangnya. Pulau Perhentian dijadikan pelabuhan tempat persinggahan sementara tentera Jepun untuk menyerang lain-lain tempat di Tanah Melayu dan Asia Tenggara. Kapal-kapal tentera Jepun berlabuh dan berkubu sementara di Pulau Perhentian.

Tentera Jepun bertindak merampas makanan dan ternakan daripada orang-orang kampung. Penduduk menjadi ketakutan, terutama sekali golongan muda. Ini adalah kerana tentera Jepun bertindak cuba menangkap tenaga-tenaga muda ini untuk dijadikan buruh keretapi maut di Burma. Bagi mengelakkan diri dari tertangkap, mereka melarikan diri ke atas bukit dan memasuki hutan Pulau Perhentian. Penduduk kampung yang lari terpaksa bermalam di dalam hutan dan mendapat bekalan makanan daripada golongan tua yang masih tinggal di rumah masing-masing secara sembunyi-sembunyi. Sebenarnya bukan sahaja golongan muda lelaki sahaja yang melarikan diri tetapi juga golongan wanita kerana takut akan kekejaman tentera Jepun.

Kesengsaraan pada zaman Jepun turut dirasakan oleh penduduk Pulau Perhentian sepertimana yang dirasakan oleh penduduk Tanah Besar Semenanjung. Semua ternakan dan makanan yang tidak sempat disembunyikan dirampas oleh tentera Jepun dan sesiapa yang cuba melawan akan diseksa dan dibunuh oleh mereka. Penduduk kampung yang bersembunyi keluar dari tempat persembunyian apabila Jepun mengaku kalah dalam tahun 1945. Setelah Jepun mengaku kalah baharulah orang-orang kampung menjalani kehidupan seperti biasa sama seperti sebelum pendudukan tentera Jepun.
 
Pulau Perhentian Zaman Sekarang
Sekarang Pulau Perhentian sedang pesat membangun. Segala kemudahan asas yang ada di Tanah Besar terdapat di sini walaupun tidak secanggih yang terdapat di Tanah Besar. Penduduk Pulau Perhentian hampir mencapai angka seribu orang. Kehidupan mereka kini tidak lagi susah dan perit sebagaimana beberapa dekad yang lalu. Mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

Dengan adanya kemudahan eletrik 12 jam, penduduk di sini mampu memiliki dan mengikuti perkembangan semasa melalui peti televisyen dan tidak lagi tertutup kepada dunia luar. Boleh dikatakan hampir setiap keluarga memiliki peti televisyen dan setiap rumah diterangi lampu letrik. Di samping tenaga letrik penduduk Pulau Perhentian juga mendapat kemudahan bekalan air paip yang disediakan oleh pihak kerajaan.

Perkampungan Pulau Perhentian kini menjadi sebuah perkampungan yang lebih tersusun kerana adanya beberapa fasa perumahan yang dibina oleh kerajaan di samping beberapa fasa lagi yang dalam pembinaan. Apabila semua projek perumahan kos rendah yang dibina itu siap, Pulau Perhentian akan menjadi satu perkampungan yang cantik, kemas dan tersusun. Dalam tempoh beberapa tahun lagi Pulau Perhentian tidak akan ada lagi rumah-rumah di tepi pantai yang menyesakkan persekitaran.

Selain dari itu, Pulau Perhentian kini mempunyai beberapa kemudahan asas yang lain, iaitu sebuah sekolah untuk kemudahan anak-anak tempatan, sebuah klinik untuk memberi rawatan dan kemudahan kesihatan kepada penduduk kampung sebelum dihantar ke pusat kesihatan besar di Tanah Besar. Sebuah pondok polis didirikan untuk memberi kemudahan kepada orang ramai yang memerlukan pertolongan.

Sejak penghujung dekad 70an, pelancong dari dalam dan luar negara tidak putus mengunjungi Pulau Perhentian. Ramai pelancong luar negara mengunjungi Pulau Perhentian kerana udaranya yang bersih, pantainya yang cantik dengan pasir putih bersih serta persekitaran pulau yang menarik. Oleh kerana kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara kian meningkat, penduduk kampung merebut peluang yang ada dengan menyediakan keperluan untuk para pelancong. Banyak rumah tumpangan didirikan untuk disewakan kepada pelancong. Bot-bot untuk kemudahan pelancong pergi dan balik dari Pulau Perhentian juga disediakan. Perkembangan ini telah menjadikan penduduk Pulau Perhentian mempunyai pilihan dalam mencari rezeki untuk keluarga. Dari segi taraf hidup, penduduk Pulau Perhentian kini mempunyai taraf hidup yang sama dengan apa yang dirasakan oleh penduduk di Tanah Besar.
 
Lagenda Di Pulau Perhentian
Batin Mina

Batin Mina merupakan orang yang pertama membuka satu kawasan penempatan di Pulau Perhentian. Beliau dikatakan berasal dari Johor-Riau. Oleh kerana adanya campurtangan Inggeris dan Belanda di situ, beliau telah bertindak menentang campurtangan itu. Pada masa itu, Belanda menguasai kepulauan Indonesia dan Inggeris menguasai Tanah Melayu. Beliau dikatakan begitu marah dengan campurtangan itu dan bertindak menentang dasar itu.

Beliau dikatakan bersama orang-orangnya telah bertindak menyerang kapal-kapal dagang Inggeris dan Belanda yang berlayar di sekitar perairan Riau. Tindakannya menyerang dan merampas barang-barang dagangan yang dibawa oleh kapal-kapal dagang Inggeris dan Belanda itu telah menimbulkan kemarahan pihak Belanda dan Inggeris. Pihak Belanda dan Inggeris menganggap Batin Mina dan orang-orangnya sebagai lanun. Tetapi tindakan Batin Mina dan orang-orangnya tidak begitu berkesan untuk menghalang dua kuasa imperialis itu dari menguasai gugusan Kepulauan Melayu. Ini adalah kerana dua kuasa itu mempunyai kelengkapan senjata yang baik.

Tindakan Batin Mina itu telah menyebabkan pihak Belanda dan Inggeris menyerang balas dan menyerang kubu-kubu yang digunakan oleh Batin Mina dan orang-orangnya. Batin Mina yang telah dianggap lanun oleh dua kuasa barat itu telah menjadi buruan pihak Belanda dan Inggeris. Batin Mina dan orang-orangnya telah lari dari buruan pihak Inggeris dan Belanda itu ke Timur Semenanjung. Kemudian membuka penempatan dan menetap di Teluk Dalam Pulau Perhentian Besar.

Beliau dikatakan seorang yang terkenal kerana mempunyai ilmu kebatinan yang tinggi. Seorang pendekar yang terbilang serta mempunyai ilmu kebal. Beliau juga adalah seorang bomoh yang handal. Di Pulau Perhentian beliau dikenali sebagai Batin. Kehandalan Batin Mina sebagai bomoh memang terkenal kerana dikatakan telah berjaya mengubati penyakit sehingga sampai ke istana.

Pada masa beliau menjadi batin di Pulau Perhentian, bekalan pakaian dan makanan tidak mencukupi untuk penduduk yang di bawah tanggungjawabnya. Langkah yang diambil oleh Batin Mina ialah dengan meminta bekalan makanan dan pakaian dari wakam atau tongkang besar Cina yang berlabuh di sekitar perairan Pulau Perhentian. Segala pemberian itu bolehlah dianggap sebagai cukai dan jaminan keselamatan kepada kapal-kapal dagang yang berlabuh.

Tetapi ada di antara kapal-kapal dagang Cina yang berlabuh itu enggan memberikan apa yang diminta oleh Batin Mina. Tindakan pedagang itu menimbulkan kemarahan Batin Mina. Dengan menggunakan ilmu kebatinan yang ada padanya, beliau dikatakan telah bertindak menghalang pelayaran kapal-kapal dagang itu dengan membina beting-beting pasir di tengah laut. Oleh kerana adanya beting pasir itu, kapal-kapal tidak dapat meneruskan pelayaran dan terpaksa tunduk kepada Batin Mina. Tindakan Batin Mina itu telah menyebabkan kapal-kapal dagang yang berlindung di Pulau Perhentian membayar cukai kepada Batin Mina.

Panglima Dayak

Beliau adalah merupakan panglima kepada Batin Mina. Panglima Dayak bertindak sebagai pembantu kepada Batin Mina dari segi keselamatan penduduk Pulau Perhentian pada masa itu. Beliau tidak terus menjadi panglima kepada batin yang selepas Batin Mina. Mengikut cerita, beliau dikatakan ghaib selepas sahaja kematian Batin Mina.

Mengikut cerita, jika ada orang yang tersesat di atas bukit Pulau Perhentian Besar akan terjumpa dengannya dan beliau akan membantu atau membawa ke satu tempat yang dinamakan Pinang Seribu. Dari cerita lisan yang diperkatakan, pernah terjadi orang yang tersesat di atas bukit Pulau Perhentian akan ditemui di tempat yang sama sahaja dengan mereka yang tersesat sebelumnya. Ini terjadi kerana mereka yang tersesat itu dikatakan telah dibawa oleh Panglima Dayak. Setelah mereka yang tersesat itu dibawa ke beberapa tempat dengan tidak disedari oleh mereka yang tersesat itu, kemudian ianya akan dihantar ke satu tempat yang dikenali dengan Pinang Seribu. Orang yang mencari akan menemui mereka yang tersesat itu di tempat yang sama setiap kali kejadian sesat ini berlaku. Panglima Dayak ini dikatakan masih ada lagi hingga sekarang ini. Wallahualam.
 
Metos Di Pulau Perhentian
Pada zaman dahulu, di Pulau Perhentian tinggal seekor naga yang sangat besar. Naga itu dikenali dengan panggilan Naga Pulau Berjuang. Ia tinggal di satu tempat yang sekarang ini dikenali dengan Tanjung Basi, Pulau Perhentian Besar. Pada satu ketika, Naga Pulau Berjuang turun ke laut kerana berjuang menentang seekor naga lain yang cuba mengganas dan menenggelamkan Pulau Perhentian. Tempat naga itu turun meninggalkan kesan di atas bukit Pulau Perhentian. Jalan yang dilalui oleh naga itu sekarang ini dikenali dengan nama Jalan Naga. Satu perkara lagi yang menarik di Pulau Perhentian ialah tentang ular yang ada di atas pulau ini. Tidak ada ular bisa tinggal di atas pulau ini. Semua ular yang tinggal di pulau ini tidak mempunyai bisa. Dari apa yang diperkatakan, yang ada di atas pulau ini hanyalah ular sawa sahaja. Mengikut cerita, ular bisa tidak boleh tinggal di atas pulau ini kerana terdapatnya keladi lekir dan akar cina putih yang mujarab sebagai penawar bisa ular. Walau ular itu bisa semacam manapun, ianya akan menjadi tawar kerana adanya dua jenis tumbuhan itu. Oleh kerana itulah, semua ular bisa tidak berani tinggal di atas Pulau Perhentian. Akar cina putih mendapat nama kerana, ianya digunakan oleh kelasi-kelasi kapal dagang Cina untuk membuat tali sauh dan tali kapal. Akar cina putih ini adalah sejenis tumbuhan yang menjalar dan kukuh sebagai tali. Oleh kerana ianya sering digunakan oleh tongkang-tongkang dan kapal-kapal dagang cina, lalu ianya diberi nama sebagai akar cina putih. Sebagaimana yang telah diceritakan, Pulau Perhentian memang bebas dari ular yang berbisa. Apa yang dimaksudkan di sini ialah di atas pulau itu. Mengikut cerita, memang tidak ada ular bisa di atas pulau itu melainkan ular laut saja. Cuma yang ada sejenis ular sahaja iaitu ular sawa.
 
Sumber:
Berita Darul Iman Mac - Okt. 1995
oleh : Yusof Bin Awang Su
Pemenang Ketiga: "Sayembara Penulisan Tempat Sejarah Di Terengganu"

Accommodation
~Perhentian Island Resort::..
~Coral View Island Resort::..
~The Reef::..
~The Barat Perhentian::..
~Cozy Chalet
~Cocohut Chalet::..
~D'Ayumni Chalet::..
~Watercolours::..
~Flora Bay::..
~Samudra Chalet::..
~Arwana Resort::..
~Carver Cove Resort::..
~Petani Beach::..
~Shari-La Resort::..
~Ombak Chalet::..
~Bubu Resort::..

Perhentian 3D 2N Fullboard
~Perhentian Island Resort::..
~Coral View Island Resort::..
~The Reef Chalet::..
~The Barat Resort ::..
~Cozy Chalet::..
~Cocohut Chalet::..
~Ayumni House::..
~Flora Bay::..
~Samudra Chalet::..
~Carver Cove Resort::..
~Arwana Resort::..
~Sharila Resort ::..

3D 2N Promotion Package
~Perhentian Island Resort::..
~Coral View Island Resort::..
~The Reef Chalet::..
~Cocohut Chalet::..
~Ayumni House::..
~Flora Bay::..
~Samudra Chalet::..
~Carver Cove Resort::..
~Sharila Island Resort::..

3D 2N Perhentian + Redang + L/Tengah
~Coral View Island Resort::..
~The Barat Resort::..
~Cozy Chalet::..
~Cocohut Chalet::..
~Ayumni House::..
~Flora Bay::..
~Samudra Chalet::..
~Carver Cove Resort::..

3D 2N Perhentian + Rawa
~Perhentian Island Resort::..
~Coral View Island Resort::..
~The Barat::..
~Cozy Chalet::..
~Cocohut Chalet::..
~Ayumni House::..
~Flora Bay::..
~Samudra Chalet::..
~Carver Cove Resort::..
~Arwana Resort::..
~Sharila Island Resort::..

3D 2N Perhentian
without meals
~Coral View Island Resort::..
~The Reef Chalet::..
~The Barat::..
~Cozy Chalet::..
~Cocohut Chalet::..
~Ayumni House::..
~Flora Bay::..
~Samudra Chalet::..
~Carver Cove Resort::..
~Shari-La Resort::..
~Ombak Chalet::..

3D 2N Perhentian
without snorkeling
~Perhentian Island Resort::..
~Coral View Island Resort::..
~The Barat::..
~Cozy Chalet::..
~Cocohut Chalet::..
~Ayumni House::..
~Flora Bay::..
~Samudra Chalet::..
~Carver Cove Resort::..
~Arwana Resort::..
~Sharila Island Resort::..

 
Last up date : Sunday, 19 February, 2017 12:03 PM
 
 
 
footer_anjung